HIDANGAN popular Jepun seperti sushi dan sashimi sering dinikmati dalam keadaan mentah, khususnya apabila menggunakan ikan segar yang disediakan dengan cara tertentu.Namun, pernahkah anda terfikir mengapa ikan boleh dimakan tanpa dimasak sedangkan ayam pula sangat berisiko jika tidak dimasak terlebih dahulu? Menurut pakar kualiti makanan, Wan Amr menerusi perkongsian di Threads, perbezaan utama terletak pada jenis mikroorganisma yang menjadi risiko serta kaedah untuk menghapuskannya."Ikan mentah risiko utama parasit, manakala ayam mentah pula bakteria seperti salmonella serta campylobacter dan kedua-duanya perlu cara penghapusan yang berlainan," katanya.Bagi ikan yang digunakan untuk sushi, antara risiko perlu diberi perhatian ialah parasit anisakis, iaitu sejenis cacing yang boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada manusia.Justeru, ikan yang dimakan mentah biasanya perlu melalui proses pembekuan pada suhu dan tempoh tertentu bagi membunuh parasit.Antara kaedah digunakan ialah membekukan ikan pada suhu -20 darjah celsius selama tujuh hari atau -35 darjah celsius selama sekurang-kurangnya 15 jam.Bagaimanapun, proses itu tidak boleh digunakan untuk ayam kerana bakteria seperti salmonella dan campylobacter boleh kekal hidup lama dalam keadaan beku.Sebaiknya, ayam dimasak dengan sempurna bagi membunuh segala bakteria berbahaya agar tidak menjejaskan kesihatan individu.Dalam pada itu, laporan portal Agensi menyatakan bahawa bakteria campylobacter boleh menyebabkan simptom cirit-birit, kejang otot, loya dan muntah.Kira-kira 1.3 juta kes dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat (AS) setiap tahun dan bakteria salmonella turut menjadi punca kematian lebih 450 orang daripada 1.2 juta mangsa.Di Jepun, pihak Kementerian Kesihatan sebelum ini telah mengarahkan semua restoran di sana untuk menilai dan menyemak semula menu ayam mentah dengan arahan dimasak pada suhu 75 darjah celsius.