SASTERAWAN Negara, Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada pukul 6.10 petang Selasa.Berita itu dikongsikan oleh anak sulungnya, Helmy Samad dalam satu hantaran di Threads. "6.10 (petang). Innalillahi wainnailaihi rojiun," katanya ringkas.Walau bagaimanapun tiada perincian mengenai pengebumian beliau dinyatakan setakat ini.Untuk rekod, A Samad Said yang mesra disapa Pak Samad, 91, merupakan tokoh penting dalam bidang kesusasteraan Melayu dan pernah menghasilkan karya merentas pelbagai genre termasuk novel, puisi, cerpen, drama dan esei.Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, beliau memulakan kerjaya sebagai kerani di Hospital Umum Singapura sebelum menceburi bidang kewartawanan. Perjalanan Allahyarham dalam dunia persuratkhabaran merangkumi pengalaman bersama Fikiran Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam dan akhbar mingguan Utusan Zaman di bawah bimbingan Usman Awang.Beliau turut menjadi pengarang Berita Harian sekitar 1960-an, Ketua Pengarang Warta Teberau pada 1981 serta Ketua Pengembangan Sastera dalam kumpulan akhbar The New Straits Times.Dalam dunia penulisan kreatif, nama beliau melonjak menerusi novel Salina yang diterbitkan pada 1961.Malah manuskrip asalnya berjudul Gerhana menerima hadiah penghargaan dalam peraduan novel Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1958.Antara karya terkenal lain ialah Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi, selain kumpulan puisi Liar di Api. Sumbangan beliau mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, diikuti anugerah penulisan Asia Tenggara, SEA Write Award pada 1979.Kemuncak pencapaiannya ialah penerimaan Anugerah Sastera Negara pada 1985 yang menjadikan beliau Sasterawan Negara keempat.Beliau turut menerima Anugerah Sasterawan Nusantara pada 1999 serta Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2003.